Friday, May 22, 2015

Pembelian terus dengan saya

Assalamulaikum,

Hari ni saya datang nak bagi harga yang menarik untuk pembelian terus novel Isteri Sipi-Sipi dan Hanya Dia Sufi dengan saya.

Harga asal:

Isteri Sipi-Sipi         RM22
Hanya Dia Sufi        RM19

Harga yang saya tawarkan adalah seperti berikut:

Isteri Sipi-Sipi         RM18
Hanya Dia Sufi        RM17

Postage

Semenanjung           RM6
Sabah/Sarawak       RM10

Combo set (Isteri Sipi-Sipi + Hanya Dia Sufi + Postage)

Semenanjung           RM44
Sabah/Sarawak       RM50

Untuk tembahan, kalian bolelah emailkan kepada lilinorlaili@gmail.com atau datanglah melawat saya di Facebook, di situ kita boleh berinteraksi. Insya-Allah.


Thursday, May 21, 2015

Isteri Sipi-Sipi

BAB 8



“Lia, bila sampai?” soal Kak Mimi ketika aku ralit membantu bibik di dapur menyediakan makan malam.
“Sebelum maghrib tadi, akak kat bilik masa tu jadi Lia terus ke bilik, kejar solat asar yang hampir terbabas.” Lancar aku menjawab sambil tangan menyenduk kari ayam asam boi ke dalam mangkuk kecil.
“Sedapnya bau kari ni Lia. Sejak bila pandai masak kari?” Kak Mimi tersenyum-senyum dengan soalannya.
Aku ketawa. Faham sangat dengan soalan Kak Mimi itu. 
“Ooo... mentang-mentang Lia tak ada dapur, akak pelik ya bila saya pandai masak,” kataku merujuk kepada tempat aku menumpang teduh dahulu.
“Eh! Ke situ pula dia.” Kak Mimi menarik pipiku.
“Lia belajar memasak masa belajar kat sana tulah. Hana kawan serumah Lia yang orang Kelantan tu kan pandai masak. Lia ambil berkat!” ujurku sambil ketawa.
Sungguh, masa kat sana aku berpeluang belajar memasak pelbagai jenis masakan daripada Hana. Dia yang tidak kedekut ilmu itu rajin saja meladeni aku yang budak baru nak belajar memasak.
“Alhamdulillah, satu perubahan ke arah kebaikan untuk masa depan Lia,” Kak Mimi masih mahu menggiatku.
Aku pandang muka Kak Mimi tanda tidak mengerti maksudnya tadi.
“Bagus untuk Lia bila berkeluarga nanti. Pandai masak, bijak dan berkerjaya, suami sayang dua ratus persen nanti.”
Amboi!! Bukan main lagi Kak Mimi menanam harap pada penghidupan masa depanku.
“Amiiin...” ajukku pada kata-kata Kak Mimi sebentar tadi. 
“Belum baca doa dah amin?” tiba-tiba sahaja suara itu kunjung tiba.
Apa lagi, Kak Mimi berderai ketawa dengan telatah suaminya yang menegur macam muka orang tidak tahu apa-apa.
“Lia kan budak baik, itu yang suka benar mengaminkan doa orang,” jawab Kak Mimi, membuat aku hanya mampu menyungging senyum.
“Kari ayam asam boi,” kata Kak Mimi kepada Abang Amar ketika mangkuk kecil itu aku letak di tengah-tengah meja.
Marvellous,” jawab Abang Amar pula.
“Aik bang, belum makan dah kata sedap, heran saya!” Kak Mimi menyakat suaminya pula.
Maka apa lagi, masa itulah ketawa kami bergabung. Bibik hanya menggeleng kepala melihat telatah kami bertiga yang berperangai macam budak-budak. Saling mengena antara satu sama lain bila-bila saja berkesempatan.
Setelah masing-masing duduk di kerusi, Abang Amar membaca doa makan dan kami sudah pun bersedia untuk menikmati hidangan malam berlauk kari ayam asam boi, ikan selar goreng, sambal belacan dengan kacang botor sebagai penambah selera.
Sedang semua ralit dengan makanan, aku merasakan inilah masa yang sesuai untuk menyatakan yang esok aku akan pindah keluar. Cukuplah dua tiga hari aku menumpang berteduh di sini.
“Hmmm... sebenarnya saya ada nak beritahu sesuatu pada akak,” kataku memecah suasana.
Serentak Kak Mimi dan Abang Amar mengangkat kepala. Adam di hujung meja masih ralit menggaul nasi dengan sudu kecilnya.
“Sebenarnya saya dah dapat bilik sewa. Dekat Bangsar. Esok saya akan mula duduk kat sanalah,” kataku dalam nada senafas.
“Hah!! Nak pindah, kenapa?” Laju juga soalan yang keluar daripada mulut Kak Mimi.
“Secepat ni nak pindah. Lia tak selesa ke tinggal di sini?” soal Abang Amar pula.
Errr... sebenarnya bukan macam tu. Lia suka tinggal di sini, di samping akak sekeluarga. Tapi Lia harus mulakan hidup baru tanpa perlu bergantung pada sesiapa. Lia kena belajar berdikari. Lagipun sampai bila Lia nak menumpang rumah akak. Segan Lia,” jawabku sambil tersenyum ke arah mereka. Serasanya itulah jawapan terbaik setakat ini yang mampu aku fikirkan.
Lebih daripada itu aku tidak mahu terlalu lama duduk menumpang rumah orang. Memang tidak manis dan selebihnya aku harus sedar takkan selamanya mahu hidup senang dengan menumpang tuah Kak Mimi. Mereka pun mesti mahu kehidupan yang selesa dan privacy tanpa gangguan daripada orang lain. Selebihnya aku memikirkan apa kata keluarga Abang Amar jika mereka mendapat tahu ada orang hidup menumpang di rumah anak mereka. Aku tidak mahu kisah hidupku yang sebatang kara ini menjadi bualan orang ramai.
“Sungguh Lia nak pindah secepat ini? Kerja dah dapat?” soal Kak Mimi lagi. Ada nada ketegasan di situ.
“Alhamdulillah kak, Lia dapat kerja sementara di pejabat kawan yang sama-sama belajar dulu. Cukuplah gaji tu untuk tampung keperluan hidup Lia seorang.” Aku senyum sendiri. Sungguh beratus-ratus kali aku bersyukur dengan kemurahan rezeki ini.
“Akak rasa baik Lia duduk je dengan akak, boleh jimat dan kita pun boleh selalu bersama. Kan dah lama kita berpisah, baru dua tiga hari kita dapat bersama, dah nak kena berpisah balik,” rungut Kak Mimi sedih. Berubah-ubah intonasi suaranya. 
Aku tersenyum mendengar kata-katanya. Terselit juga rasa sedih dalam hati, tetapi macam aku kata tadilah, takkan selamanya aku mahu menumpang di rumah orang.
 “Apa pula, bukan jauh mana pun Bangsar dengan Damansara ni kak. Bila-bila masa je kita boleh berjumpa. Lia pun kalau ada masa, Lia akan ziarah akak sekeluarga. Lia janji.” Kataku bersungguh-sungguh.
“Betul ni?” soal Kak Mimi lagi.
“Betul. Lia akan selalu ziarah akak. Jangan bimbang okay.” Keyakinan yang aku tanam agar Kak Mimi tidak susah hati untuk melepaskan aku.
“Kalau itu kata Lia, akak tak keberatan nak lepaskan Lia sebab akak pun tahu, Lia mesti nak belajar berdikari, tak nak bergantung hidup dengan akak. Ya la kan, kita mesti belajar hidup sendiri sebab kita tak tahu sampai bila boleh bergantung harap dengan orang. Entah esok, entah lusa orang akan tinggalkan kita. Jadi baik bersiap sedia ya dik.”
Begitu pula kata Kak Mimi. Aku sedikit keliru dengan ayatnya tetapi tidak mahu memanjangkan bicara yang sudah nak masuk ke tahap linangan air mata. Baik aku mendiamkan diri dengan mengangguk sahaja tanda bersetuju dengan kata-kata Kak Mimi tadi.
Abang Amar nampak seperti terkejut dengan bicara Kak Mimi tetapi dia juga tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengulas. Masing-masing hanya pandang-memandang antara satu sama lain.
“Kalau semua okay, akak doakan Lia jumpa kawan serumah yang baik-baik. Yang boleh tolong tengok-tengokkan Lia. Tapi akak ada satu syarat.” Muka serius Kak Mimi sudah kembali.
Aku pandang Kak Mimi bersilih berganti dengan Abang Amar.
 “Syarat apa tu kak?” soalku telus.
“Setiap kali musim raya, Lia kena balik beraya di sini. Ini rumah Lia dan kita sambut sama-sama.”
Aku tersenyum mendengar syarat itu. “Insya-Allah kak. Kalau akak tak bagi syarat ni pun, Lia dengan muka tak tahu malu akan datang jugak. Maklum, Lia tak ada tempat lain lagi nak pergi selain dari rumah akak ni,” kataku sambil mahu berseleroh. Tetapi dalam diam, satu rasa sedih tetap jua bertandang dalam hatiku. Ternyata, bertahun-tahun memegang status anak yatim piatu, aku belum kuat untuk tidak memikirkan tentang seronoknya mempunyai ibu ayah dan adik-beradik kandung.    
 Allah, ujian-Mu kepadaku sudah lama bermula dan sudah lama aku menjalaninya walau dengan kekuatan yang entah dari mana. Aku bersyukur pada-Mu ya Allah kerana menemukan aku dengan keluarga ini. Tempat aku menumpang kasih. 

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Untuk pembelian naskah ini, bolehlah berhubung terus dengan saya di facebook atau emailkan kepada lilinorlaili@gmail.com