Thursday, April 11, 2013

Sedangkan Musim Pun Berubah


Petang ni tiba-tiba gatal tangan nak tepek benda alah ni di sini...untuk mencari semangat yang hilang bagi menyudahkan cerita duka lara ini...pada kawan-kawan yang terbaca, jika sudi komenlah ya...saya masih mencari 'jalan berikutnya' untuk menamatkan cerita cinta ini...

 

BAB 1

 

Mendung harus berlalu pergi…..

 

Tika petang yang azan asar akan berkumandang pada bila-bila masa ini, hati Ainur bagaikan dicubit-cubit dengan masalah yang baru muncul pagi semalam, pelbagai rasa memukul gendang hati yang bagaikan entah bila mahu berhenti berlagu.
Ainur sendiri masih lagi tertanya-tanya, dalam minda sarat dengan persoalan yang tiada terjawab sehingga kini. Dalam sekelip mata semua terjadi tanpa Ainur merancang terlebih dahulu. Entah kenapa, mudah sangat Ainur mengiakan kata-kata emaknya ketika itu. Entah dipukau kuasa ghaib mana, mudah sangat bibinya berbicara, mengiakan!
Itulah, terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak berjanji, janji harus dikotakan. Itu pesanan dari emak sejak dia masih kecil lagi. Jangan sekali-kali memungkiri janji yang telah dipahat.
            “Mak, kalau Nur tarik balik kata-kata semalam ok tak?” Dengan muka separuh monyok Ainur memberanikan diri bertanya. Dia duduk bersimpuh tidak jauh dari emaknya yang sedang membungkus ketupat pulut. Esok hari raya Aidiladha akan menjelma, Ainur sudah pun berada di kampung sejak tiga hari yang lepas. Entah kenapa, tahun ini Ainur memohon cuti yang agak panjang sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sesungguhnya sejak dua tahun lepas, sejak majlis tunangnya tidak jadi, Ainur lebih suka balik kampung di saat-saat akhir. Itu pun dia tidak akan keluar ke mana-mana. Sekadar menjadi tetamu ‘kehormat’ emaknya sahaja. Peristiwa itu sedikit sebanyak mula surut dari hatinya setelah saudara-mara tidak lagi membuka mulut bertanya tentang jodoh kepadanya.
            Peristiwa dua tahun lepas kembali menerawang di ruang perasaannya. Ainur malu dengan semua orang di sekelilingnya kerana majlis yang sepatutnya berlangsung esok terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir akibat daripada si lelaki itu mengaku sudah tidak cintakan Ainur lagi. Majlis pertunangan yang sudah dirancang sejak mereka tamat belajar di universiti itu bertukar ke majlis kesyukuran abang Ngah naik pangkat.
Sejak itu Ainur seperti keladi dicelur air panas. Hatinya patah seribu dek perbuataan Fuad yang sanggup mencabar percintaan yang sama-sama mereka lakarkan dan Zulfanina dengan mudah mengeruhkan persahabatan mereka dalam diam.
“Boleh tak mak?” sekali lagi Ainur mengulang tanya.   
            Terjengil biji mata Puan Maizan mendengar suara anaknya yang manis itu. Biarpun umur sudah menjangkau ke pertengahan dua puluhan, namun Ainur masih kelihatan seperti baru berusia tujuh belas tahun. Wajah baby face kata orang! Tak makan dek usia. 
Ainur Saffiya. Itulah satu-satunya anak perempuan yang dia ada, anak bongsunya. Dua lagi anak lelakinya sudah pun berkahwin dan kini menetap di Kuala Lumpur, sama seperti Ainur. Malam nanti mungkin mereka juga akan sampai ke kampung untuk menyambut lebaran bersama-sama kerana esoknya ada majlis korban yang di buat secara berkongsi mereka anak-beranak. Harap-harap semua perjalanan mereka selamat.
            Daun palas di tangan, diletakkan ke tepi, perlahan emaknya bersuara, “Nur, tolonglah jangan buat mak macam dulu lagi, hal dulu baru nak reda, Nur dah mula buat hal balik, mak tak mahulah orang mengata anak mak lagi,” Nada yang sayu itu sedikit sebanyak melemahkan semangat Ainur. Ainur tahu bukan dia sahaja yang terluka akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki idamannya itu. 
Emak. Ya emak, orang yang paling sedih. Dia seakan hilang pertimbangan apabila khabar tidak baik itu sampai ke pengetahuannya. Kerna sayang emak terhadap Ainur yang begitu kuat itu hampir-hampir membuatkan emaknya pergi menyerang Faud sekeluarga. Tetapi nasib baik ketika itu arwah ayah masih ada dan ayah berjaya mententeramkan emak. Menahan emak daripada melakukan sesuatu yang akan mengaibkan mereka sekeluarga walaupun hatinya sendiri bagai retak seribu. Punah impiannya mahu melihat anak kesayangannya disunting orang. 
            “Mak dah bagi tahu Hajah Halimah ke?” Ainur menyoal emaknya untuk mencari kepastiaan. Melihat emak mengangguk, Ainur sudah tahu yang dia sudah terjerat dalam ketidakpastiannya itu.
            “Mak, sebenarnya Nur belum bersedia nak kahwin buat masa ini, Nur masih muda, baru bekerja dan baru merasa ada wang sendiri. Lebih-lebih lagi untuk mak, masakan Nur dah nak kahwin, nanti bila dah kahwin Nur tak dapat lagi nak bagi duit banyak-banyak kat mak, macam sekarang ni.”  Ainur sempat lagi mencari alasan yang tidak munasabah itu. Padahal Ainur sendiri tahu, walau kahwin sekalipun, duit untuk mak tetap ada bahagiannya. Kerana itu janji Ainur pada diri sendiri. Masih dia ingat ketika kali pertama mendapat gaji hasil dari kerjanya, Ainur memberikan kesemua wang gaji itu kepada emak. Dan emak konon-kononnya menerima wang tersebut padahal keesokkan harinya ketika Ainur ingin kembali semula ke kota, emak memberi kembali wang tersebut kepada Ainur. Sedekah buat Ainur, kata emak.
Sekarang ini pula, untuk emak setiap bulan akan didahulukan walau Ainur tahu pencen emak sebagai cikgu penolong kanan dulu lebih dari mencukupi untuk dirinya seorang. Ainur sedar tanggungjawabnya sebagai anak yang harus berbudi kepada kedua ibu bapanya. Mengingatkan akan itu, Ainur sedih kerana dia tidak sempat untuk membalas jasa arwah ayahnya juga.
Namun kadang-kadang ketika datang sesak Ainur, dia pinjam juga duit dari emak. Emak kata buruk siku, dah bagi ambil balik, tapi kata Ainur, ‘pinjam mak, akhir bulan Ainur bayar balik.’
Itulah Ainur, intan payung Puan Maizan. Anak perempuan nan seorang yang dipuja dari segenap ruang rasa....