Thursday, April 23, 2015

Isteri Sipi-Sipi

Assalamulaikum semua.

Saya datang hari ni nak kenalkan baby baru ya...jeng..jenggggg....



Alhamdullilah, syukur kepada Allah SWT yang masih meminjamkan saya idea untuk terus menulis... lahirnya naskah baru ini saya tujukan khas untuk kawan2 pembaca yang sangat saya sanjungi. Terimalah naskah ini seadanya. Sesungguhnya naskah itu tidaklah yang terbaik untuk dijadikan panduan atau apa2 pun...ianya cuma nukilan cerita yang saya tulis dengan gerak hati...yang saya jalinkan satu persatu jalan ceritanya dengan rasa yang amat menyanyangi Alia dan kasihkan Amar. Lebih dari itu, tumpahnya selautan kasih dan sayang saya pada Mimi. Adam sikecil yang menyerikan hidup mereka sekeluarga itu saya bawa agar kita sama-sama dapat menghayati nilai kasih sayang dalam keluarga.

Kawan-kawan pembaca yang budiman...naskah ini tidak berat untuk difahami dan tidak juga ringan untuk disantuni...maka, kalianlah yang wajar memberi gambaran tentang naskah ini sekiranya kalian berjaya menghabiskan naskah 472 muka surat itu.

Maka, sudi-sudikanlah dapatkan naskah ini... untuk permulaan, novel ini dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2015) di PWTC bermula 24 April - 3 Mei 2015, di gerai Pekan Ilmu, booth Lot 3150 & 3151 Aras 3, Dewan Tun Razak 3. Insya-Allah saya juga akan ada di sana pada masa-masa tertentu. Kalau jumpa saya...tegur-tegurlah ya...boleh kita beramah mesra...Insya-Allah.

*** Cumanya sedikit ralat, saya baru diberitahu oleh penerbit sebentar tadi bahawa novel ini hanya akan berada di rak pesta buku bermula 29 April (Rabu) sahaja kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Perancangan awal, novel ini sepatutnya siap dicetak hari ini. 



              _________##~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~## _____________ 





Sedikit teaser ya sebagai mukadimah ...  



Bab 1

So how? Masih jet lag?” suara Kak Mimi yang sudah duduk di sebelah pembaringanku, membuat aku membuka mata.
Aku bangun perlahan-lahan sambil menggosok mata.
“Maaf kak, tertidur pulak, ingatkan nak baring luruskan badan sekejap, rupa-rupanya boleh tertidur,” jawabku. Terasa bersalah kerana tertidur. Tadi selepas sekembalinya kami dari airport, Kak Mimi menunjukkan bilik dan membiarkan aku untuk berehat seketika, alih-alih boleh pula aku tertidur. Tak semengah sungguh!
“Penatlah ni ya?” soal Kak Mimi.
“Taklah penat mana pun kak. Cuma lenguh badan sebab duduk lama sangat dalam flight, itu aje.”
“Bangunlah, dah nak maghrib pun, pergi mandi. Lepas maghrib kita boleh makan malam,” kata Kak Mimi sambil melipat selimut kemudian meletakkannya di hujung katilku.
Selesai melipat selimut, Kak Mimi melabuhkan punggung di sebelahku yang duduk berjuntai kaki di tepi katil.
Aku perhatikan raut wajahnya. Kak Mimi semakin cantik sekarang ini. Kulitnya putih bersih. Wajah mukanya yang berbentuk bujur sirih itulah yang akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya. Sekarang ini Kak Mimi sedang mengenakan kaftan kain cotton berwarna kelabu. Amat sepadan dengan Kak Mimi.
“Kenapa Lia tilik akak macam tu sekali?” soalnya apabila menyedari dirinya ditenung.
Aku hanya tersenyum. Rasa kagumku dengan setiap penampilan Kak Mimi dari dahulu hingga kini tak pernah luak. Rasa kagum itu aku simpan dalam hati sebab Kak Mimi tidak suka dirinya dipuji.
“Terima kasih kak sebab bagi Lia tumpang rumah akak,” kataku sambil memegang jari-jemari Kak Mimi.
Sungguh aku perlu berterima kasih kepada Kak Mimi. Tanpa dia aku tidak tahu ke mana arah yang patut aku bawa langkahku ini sekembalinya ke Kuala Lumpur.
“Kenapa pula Lia cakap macam tu, kita kan adik-beradik dunia akhirat. Walau bukan dari satu rahim ibu dan satu keturunan, kita membesar bersama. Susah senang kita selama ini, kita tempuhi berdua. Akak sayang sangat dengan Lia.” Aku dipeluknya erat.
Sebak sangat rasa hatiku apabila mendengar kata-kata Kak Mimi.
“Sepanjang Lia kat sana, akak rasa sangat kehilangan. Yalah kan, dari kecil sampai besar kita sama-sama tempuhi hidup ini. Pahit manis kita lalui bersama. Akak ingat lagi, Lia sangat comel masa kecil. Sebab tulah akak selalu dukung Lia.”
“Pasal akak selalu dukung Lialah, Lia jadi manja dengan akak,” sampukku pula.
Kami bergabung ketawa.
Kenangan kami di rumah Ar-Raudhah amat manis dikenang. Kak Mimi tua enam tahun daripadaku. Sejak aku sudah mula boleh mengingati, Kak Mimilah yang selalu di sampingku. Dialah yang banyak mengasuhku. Dialah juga menjadi tukang suap makanku. Dialah juga yang mengulit tidur malamku. Kak Mimi walaupun ketika itu baru berusia sepuluh tahun, tetapi dia sangat matang. Kami sangat menyayangi antara satu sama lain. 
“Dulu masa kecil Lia kerap berhingus. Kalau akak tak sapu hingus tu, Lia biarkan meleleh masuk mulut. Tu yang hingus Lia lambat berhenti,” ceritanya lagi, menggamit kenangan silam kami.
Aku ketawa mendengar cerita itu. Memang benar, sampai sekarang ni aku mudah benar diserang selesema. Biarpun hanya dengan terkena rintik hujan, tidak lama lepas itu, pasti aku akan selesema. Antibody aku lemah agaknya.
“Manis kan kenangan kita kat Ar-Raudhah?”
Kak Mimi mengangguk. Setuju dengan penyataan aku yang satu ini.
“Kenangan yang tak semua orang ada. Kita antara kanak-kanak yang bertuah dapat berlindung di Ar-Raudhah.”
“Esok kita pergi sana nak? Lia rindu dengan ibu. Apa khabar agaknya dia? Dia tahu Lia balik minggu ni,” kataku merujuk kepada Puan Hajah Zaiton, pengetua rumah anak-anak yatim Ar-Raudhah, yang sudah kami anggap sebagai ibu kandung sendiri.
“Ha tulah, minggu lepas masa akak ke sana, kami ada juga bercakap pasal kepulangan Lia tapi masa akak pergi tu ibu demam. Sempatlah akak bawa dia pergi klinik.”
“La... ya ke? Kesian ibu,” setunas ingatanku melekat pada raut wajah putih bersih ibu. Dialah ibu untuk aku menumpang kasih selama berbelas-belas tahun. Kami berpisah selepas aku mendapat tawaran ke Australia sebaik selepas Sijil Pelajaran Malaysia. Ketika itu Kak Mimi baru habis belajar di Universiti Putra Malaysia.
Peraturan di rumah Ar-Raudhah, selepas anak-anak berumur lapan belas tahun mereka boleh kembali ke pangkuan keluarga bagi yang masih mempunyai keluarga dan bagi anak-anak macam aku yang tidak tahu asal usul ini, kami diberi pilihan sekiranya mahu terus berada di situ dengan syarat sama-sama membantu pembangunan Ar-Raudhah.
 Aku memilih untuk mengikut Kak Mimi. Itulah sekembalinya aku dari Australia, aku menumpang buat sementara di sini.
“Abang Amar okay ke?” aku bertanya sebab takut juga dengan kehadiran aku di rumah ini akan mengganggu ruang privacy mereka sekeluarga.
“Dia okay lah. Akak dah berkali-kali tanya dia, dia tak ada masalah pun. Dia faham dengan keadaan kita,” kata Kak Mimi tersenyum.
Alahai sayu pula aku mendengar Kak Mimi berkata begitu. Almaklumlah orang sebatang kara di dunia. Terus terasa sebak menyesak dada walaupun realiti ini bukan sehari dua kami sudah tempuhi.
“Saya akan menumpang, sementara belum dapat kerja. Lepas dapat kerja, insya-Allah saya akan cari rumah lain, ya kak.”
“La... kan akak dah kata, Lia duduk je kat sini. Bilik kosong ada dua lagi tu. Lagipun hanya kami berempat saja di rumah ni. Apa nak malu dan segannya?”
“Bukan apa kak, saya nak belajar hidup sendiri, tapi akak jangan bimbanglah, Lia akan selalu jenguk akak.”
“Akak bukan apa Lia, kita ni dah macam adik-beradik kandung. Walau bukan dari rahim ibu yang sama, tapi kita dibesarkan bersama. Ikatan persaudaraan dah terlalu kukuh. Akak sangat sayang pada Lia. Akak nak Lia selalu ada dengan akak. Empat tahun Lia kat luar negara, akak asyik membilang hari. Menantikan masa untuk kita bersama semula seperti berpuluh tahun dahulu.”
Sedih aku mendengar kata-kata Kak Mimi. Hanya dia tempat aku menumpang kasih dari dulu hingga kini selain daripada kawan-kawan yang senasib dan para pengasuh di Ar-Raudhah dahulu.
“Dah... dah... tak nak sedih-sedih. Pergi mandi, solat dan kejap lagi kita makan malam. Yang lain kita bincang kamudian. Masa masih panjang lagi...” kata Kak Mimi sambil membalas usapan jari-jemariku.
Okay, akak nak turun bawah dulu, tengok Adam tengah buat apa.” Kak Mimi bangun dari katil.
Segera aku menarik tangannya kembali dan ucapan terima kasih aku luahkan. “Terima kasih kak kerana sudi menumpangkan Lia kat sini.”
“Lia... kan akak dah cakap. Lia tak menumpang di sini. Sini pun rumah Lia jugak. Di mana akak berada, di situlah rumah Lia,” pujuk Kak Mimi sambil tangan kanannya mengusap ubun-ubun kepalaku.
Usapan tangan Kak Mimi pada ubun-ubunku inilah yang aku rindui selama di perantauan. Terasa kasih kami erat berpadu. 
“Terima kasih kak...” ucapku sebak. Banyak sungguh budi yang Kak Mimi tanam untukku. Aku tak tahu sama ada aku mampu membalasnya atau tidak. Tetapi dalam setiap sujudku, doaku tidak pernah putus untuk dia. Dia ibarat nyawa kedua buatku.
Kak Mimi tersenyum. Agaknya sudah tidak terkata dia dengan sikapku ini.

Tuesday, April 7, 2015

Ajari aku untuk reda

Assalamualaikum...

Yang sedang ada dalam hati ketika ini adalah kecewa. Perkataan atau perkara yang jarang singgah dalam diri saya ini ada dengan sendirinya sejak satu pengorbanan yang saya lakukan dalam hidup ini. Pengorbanan, konon untuk membantu, namun menjerat diri saya kembali.

Mana saya sangka, perkara ini, yang mana saya terpaksa melepaskan kesayangan dengan begitu susah dan payahnya untuk saya laku, kerana yang itu adalah tempat di mana saya bermula dan rasa hormat yang saya junjung pada sesekian tertanam jauh direlung hati saya...rupanya, pengorbanan saya itu tidak berbaloi langsung.

Jadi, sekarang ini... saya kena pahatkan rasa reda dalam hati saya untuk semua keputusan yang saya sudah lakukan. Saya yakinkan diri bahawa ini semua adalah gerak kerja yang hadir dari Allah SWT untuk menguji sejauh mana tawakal saya padaNya.

Maka, dengan ini... pada setiap tindakan yang tidak memuaskan hati saya, yang menghilangkan rasa yakin saya; saya harus simpan kemas. Saya balut rapi, tutup rapat di dasar hati sendiri sebab siapa saya untuk terus mencari hak biar pun itu adalah kepunyaan saya.

Kerana, sesungguhnya... sekali saya sedia dan sanggup berkorban, selamanya saya perlu berkorban! 

Allah... kuatkan hatiku
Allah... jangan Kau matikan rasa untuk kecintaanku ini
Allah... buangkan rasa payau yang ada dalam jiwaku ketika ini
Allah... buangkan bebenan rasa buatku, kerana aku ingin hidup aman dan tenteram
Allah... lapangkan dadaku untuk belajar reda dengan ujian-Mu

Allah... Allah... Allah... Kau murahi rezeki buat kami semua, murahi kami dengan rezeki yang halal demi untuk niatku yang satu itu. Amin.