Thursday, April 11, 2013

Sedangkan Musim Pun Berubah


Petang ni tiba-tiba gatal tangan nak tepek benda alah ni di sini...untuk mencari semangat yang hilang bagi menyudahkan cerita duka lara ini...pada kawan-kawan yang terbaca, jika sudi komenlah ya...saya masih mencari 'jalan berikutnya' untuk menamatkan cerita cinta ini...

 

BAB 1

 

Mendung harus berlalu pergi…..

 

Tika petang yang azan asar akan berkumandang pada bila-bila masa ini, hati Ainur bagaikan dicubit-cubit dengan masalah yang baru muncul pagi semalam, pelbagai rasa memukul gendang hati yang bagaikan entah bila mahu berhenti berlagu.
Ainur sendiri masih lagi tertanya-tanya, dalam minda sarat dengan persoalan yang tiada terjawab sehingga kini. Dalam sekelip mata semua terjadi tanpa Ainur merancang terlebih dahulu. Entah kenapa, mudah sangat Ainur mengiakan kata-kata emaknya ketika itu. Entah dipukau kuasa ghaib mana, mudah sangat bibinya berbicara, mengiakan!
Itulah, terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak berjanji, janji harus dikotakan. Itu pesanan dari emak sejak dia masih kecil lagi. Jangan sekali-kali memungkiri janji yang telah dipahat.
            “Mak, kalau Nur tarik balik kata-kata semalam ok tak?” Dengan muka separuh monyok Ainur memberanikan diri bertanya. Dia duduk bersimpuh tidak jauh dari emaknya yang sedang membungkus ketupat pulut. Esok hari raya Aidiladha akan menjelma, Ainur sudah pun berada di kampung sejak tiga hari yang lepas. Entah kenapa, tahun ini Ainur memohon cuti yang agak panjang sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sesungguhnya sejak dua tahun lepas, sejak majlis tunangnya tidak jadi, Ainur lebih suka balik kampung di saat-saat akhir. Itu pun dia tidak akan keluar ke mana-mana. Sekadar menjadi tetamu ‘kehormat’ emaknya sahaja. Peristiwa itu sedikit sebanyak mula surut dari hatinya setelah saudara-mara tidak lagi membuka mulut bertanya tentang jodoh kepadanya.
            Peristiwa dua tahun lepas kembali menerawang di ruang perasaannya. Ainur malu dengan semua orang di sekelilingnya kerana majlis yang sepatutnya berlangsung esok terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir akibat daripada si lelaki itu mengaku sudah tidak cintakan Ainur lagi. Majlis pertunangan yang sudah dirancang sejak mereka tamat belajar di universiti itu bertukar ke majlis kesyukuran abang Ngah naik pangkat.
Sejak itu Ainur seperti keladi dicelur air panas. Hatinya patah seribu dek perbuataan Fuad yang sanggup mencabar percintaan yang sama-sama mereka lakarkan dan Zulfanina dengan mudah mengeruhkan persahabatan mereka dalam diam.
“Boleh tak mak?” sekali lagi Ainur mengulang tanya.   
            Terjengil biji mata Puan Maizan mendengar suara anaknya yang manis itu. Biarpun umur sudah menjangkau ke pertengahan dua puluhan, namun Ainur masih kelihatan seperti baru berusia tujuh belas tahun. Wajah baby face kata orang! Tak makan dek usia. 
Ainur Saffiya. Itulah satu-satunya anak perempuan yang dia ada, anak bongsunya. Dua lagi anak lelakinya sudah pun berkahwin dan kini menetap di Kuala Lumpur, sama seperti Ainur. Malam nanti mungkin mereka juga akan sampai ke kampung untuk menyambut lebaran bersama-sama kerana esoknya ada majlis korban yang di buat secara berkongsi mereka anak-beranak. Harap-harap semua perjalanan mereka selamat.
            Daun palas di tangan, diletakkan ke tepi, perlahan emaknya bersuara, “Nur, tolonglah jangan buat mak macam dulu lagi, hal dulu baru nak reda, Nur dah mula buat hal balik, mak tak mahulah orang mengata anak mak lagi,” Nada yang sayu itu sedikit sebanyak melemahkan semangat Ainur. Ainur tahu bukan dia sahaja yang terluka akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki idamannya itu. 
Emak. Ya emak, orang yang paling sedih. Dia seakan hilang pertimbangan apabila khabar tidak baik itu sampai ke pengetahuannya. Kerna sayang emak terhadap Ainur yang begitu kuat itu hampir-hampir membuatkan emaknya pergi menyerang Faud sekeluarga. Tetapi nasib baik ketika itu arwah ayah masih ada dan ayah berjaya mententeramkan emak. Menahan emak daripada melakukan sesuatu yang akan mengaibkan mereka sekeluarga walaupun hatinya sendiri bagai retak seribu. Punah impiannya mahu melihat anak kesayangannya disunting orang. 
            “Mak dah bagi tahu Hajah Halimah ke?” Ainur menyoal emaknya untuk mencari kepastiaan. Melihat emak mengangguk, Ainur sudah tahu yang dia sudah terjerat dalam ketidakpastiannya itu.
            “Mak, sebenarnya Nur belum bersedia nak kahwin buat masa ini, Nur masih muda, baru bekerja dan baru merasa ada wang sendiri. Lebih-lebih lagi untuk mak, masakan Nur dah nak kahwin, nanti bila dah kahwin Nur tak dapat lagi nak bagi duit banyak-banyak kat mak, macam sekarang ni.”  Ainur sempat lagi mencari alasan yang tidak munasabah itu. Padahal Ainur sendiri tahu, walau kahwin sekalipun, duit untuk mak tetap ada bahagiannya. Kerana itu janji Ainur pada diri sendiri. Masih dia ingat ketika kali pertama mendapat gaji hasil dari kerjanya, Ainur memberikan kesemua wang gaji itu kepada emak. Dan emak konon-kononnya menerima wang tersebut padahal keesokkan harinya ketika Ainur ingin kembali semula ke kota, emak memberi kembali wang tersebut kepada Ainur. Sedekah buat Ainur, kata emak.
Sekarang ini pula, untuk emak setiap bulan akan didahulukan walau Ainur tahu pencen emak sebagai cikgu penolong kanan dulu lebih dari mencukupi untuk dirinya seorang. Ainur sedar tanggungjawabnya sebagai anak yang harus berbudi kepada kedua ibu bapanya. Mengingatkan akan itu, Ainur sedih kerana dia tidak sempat untuk membalas jasa arwah ayahnya juga.
Namun kadang-kadang ketika datang sesak Ainur, dia pinjam juga duit dari emak. Emak kata buruk siku, dah bagi ambil balik, tapi kata Ainur, ‘pinjam mak, akhir bulan Ainur bayar balik.’
Itulah Ainur, intan payung Puan Maizan. Anak perempuan nan seorang yang dipuja dari segenap ruang rasa....

Friday, March 29, 2013

Happy birthday...

Hari ni birthday ayah umairah...jadi umairah dan ibu nak ucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat ayah terchenta....semoga Allah swt memberikan seribu kenikmatan dalam hidup ini...dipanjangkan usia untuk terus menemani kami semua...dimurahkan rezeki dan dipayungi rahmat Allah selalu...amin...

Citra hidup terindah adalah bersama ayah....kami sayang ayah sebanyak bintang di langit...Terima kasih untuk 3 tahun yang menakjubkan bersama ayah...


Monday, March 11, 2013

Partial Placenta Praevia

Masuk kali ni dah 4 kali saya taip, saya delete. Tak tau nak karang ayat macam mana. Pagi tadi pergi check up, dapat bad news...uri di bawah. Doktor cakap ini kes placenta previa stage 1...bahaya kepada ibu dan baby jika berlaku perdarahan...

Balik godek internet cari info tambahan pasal tu, macam-macam versi ada. Semua menakutkan...minta janganlah sampai kena bed rest sepanjang kehamilan yang tinggal beberapa minggu lagi ni. Tadi pun doktor nak bagi cuti 2 minggu, tapi saya tak sanggup nak bercuti sebab kerja banyak menanti di office. Masih banyak yg belum settle, nak-nak hari ni dan esok closing date untuk MB & MC...walau semua material dah ada, pagination nak kena monitar juga.

Doktor kata jangan buat kerja berat, jangan berdiri terlalu lama, jangan turun naik tangga. Masalahnya tempat duduk saya di tingkat paling atas sekali...cam ner pulak tu nak buat...tawakal sajalah...minta Allah tolong saya, naikkan kembali uri tu ke tempat yang sepatutnya...

gambar from pakcik google.

Saya yang gambar ke dua tu. Partial placenta praevia. Minta-minta scan dua minggu lagi janganlah makin teruk pulak resultnya...doa banyak-banyak...

Sesungguhnya ragam ketika mengandung ni macam-macam. Kalau dahulu protein in urine, sekarang ni ini pulak masalahnya...aih...pelik-pelik sungguh penyakit orang mengandung. Itulah sebab bukan mudah nak menjalani tempoh 9 bulan 10 hari ni kan???

sabar je lah :) 


Thursday, March 7, 2013

Urutan terapi sebelum bersalin

Mari kita kongsi sedikit info berkaitan urutan bagi ibu mengandung. Rencana ini dipetik daripada majalah Mama & Si Manja 2012 Vol 1.

Cara penjagaan kehamilan moden
Kehamilan merupakan pengalaman yang begitu bermakna di dalam kehidupan seorang wanita. Namun begitu, ibu-ibu yang hamil seringkali berhadapan dengan ketidakselesaan seperti sakit belakang, sakit tengkuk, kekejangan kaki, sakit kepala dan kebengkakan. Inilah sebab mengapa urutan khas amat penting, bukan sahaja sebagai terapi selepas bersalin malah sebelum kelahiran juga. Urutan terapi sebelum bersalin boleh membantu melegakan tekanan yang dialami oleh sendi-sendi dan juga menggalakkan peredaran serta aliran di dalam limfa. Urutan sebegini turut menenangkan tekanan pada sistem saraf, dengan itu memberikan tidur yang lebih lena serta meredakan kemurangan atau kerisauan yang disebabkan oleh perubahan hormon. 

Dapatkan kesan terbaik
Kebaikan berurut kepada tubuh manusia telah diketahui sejak 3000 BC lagi. Bagaimanapun, urutan khas bagi wanita hamil dan bayi masih baru. Kini, semakin ramai yang mengetahui kebaikan urutan terapi sebelum bersalin dan ini menjadikan amalan ini semakin popular, baik urutan tradisional ataupun moden. Apabila seseorang wanita itu hamil, dia mengalami pelbagai perubahan fizikal, emosi dan psikologi. Seorang tukang urut terapi yang terlatih akan dapat memanipulasi otot-otot di dalam tubuh wanita hamil untuk menenang dan mengurangkan ketidakselesaan fizikal serta sebarang gangguan emosi. 

Urutan terapi sebelum bersalin diketahui:
  • Melegakan kekejangan, kesakitan, simpulan dan kekerasan otot
  • Meningkatkan ketenangan
  • Memperbaiki aliran darah dan limfa serta meningkatkan bekalan oksigen kepada bayi di dalam kandungan
  • Meredakan kemurangan dan kerisauan akibat perubahan hormon
  • Mengurangkan sakit tengkuk, bahu dan belakang
  • Mengurangkan insomnia
  • Memperbaiki kesihatan otot dan kulit
  • mengurangkan tekanan pada bahagian belakang, pelvis dan buku lali yang menampung berat badan
Urutan lazimnya tidak digalakkan semasa trimester pertama kerana tubuh baru sahaja mengalami perubahan fizikal. Namun, urutan terapi sebelum bersalin selamat dilakukan pada trimester kedua dan ketiga. Tatkala kehamilan semakin terasa, si ibu akan menghargai kelegaan yang diberikan oleh urutan terapi sebelum bersalin. Bagaimanapun, anda sebaik-baiknya berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum menjalani sebarang prosedur baru seperti urutan. Sesetengah pusat urutan juga memerlukan surat pengesahan doktor sebelum memberikan rawatan.

Pakar urutan terapi sebelum bersalin yang disahkan akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan anda selesa dan selamat. Biasanya, sebuah katil khas yang dilengkapi bantal dan kusyen disediakan untuk keselesaan tubuh ibu yang hamil. Kebanyakan ahli terapi akan meminta pelanggan mereka berbaring secara mengiring untuk mengaplikasikan teknik urutan dan tekanan. Bergantung kepada tahap kehamilan dan keperluan pelanggan, seseorang ahli terapi mungkin menggunakan teknik berbeza seperti refleksologi atau urutan Swedish.

Kajian menunjukkan bahawa urutan selama 20 minit dua kali seminggu bagi tempoh lima minggu berjaya mengurangkan hormon tekanan, memperbaiki emosi dan corak tidur serta melegakan sakit belakang dan kebimbangan. Wanita yang kerap diurut juga kurang mengalami masalah obstetric dan bayi mereka kurang mengalami kesulitan selepas kelahiran. 

Langkah berjaga-jaga
Urutan lazimnya baik untuk wannita hamil yang sihat, tetapi wanita yang mempunyai masalah kesihatan berikut perlu berjaga-jaga:
  • Berisiko keguguran
  • Mengalmi pre-eclampsia atau eclampsia
  • Masalah plasenta
  • Keputihan yang banyak
  • Demam
  • Sakit yang tidak dapat dikenalpasti
  • Muntah-muntah
  • Kencing manis
  • Sejarah kelahiran pra-matang
  • Penyakit berjangkit
  • Masalah kulit
  • Tekanan darah tinggi
  • Thrombophlebitis

 Nota saya: Masa mengandungkan Umairah dahulu saya sempat pergi berurut sebanyak tiga kali. Setiap kali selepas mengurut, ah...leganya. Yang kali ini pula, dah masuk minggu ke 30 ni pun saya masih belum berkesempatan nak berurut lagi...sebab sibuk memanjang dan apabila saya free, maksu tukang urut tu pula dah ada pelanggan lain...haih...dah kebas kaki dan kejang dah tulang belakang ni ha...minta-minta hujung minggu ni ada peluang untuk saya.

Thursday, February 28, 2013

Majlis anjuran KKRBPSB

Cerita dan gambar lama yang baru nak tepet di sini sebagai kenangan...Majlis bacaan Yassin dan Tahlil anjuran kelab Kebajikan Dan Rekreasi BPSB. Tarikh 23 January 2013. Majlis telah berlangsung dengan jayanya.  

 Tekun membaca yasin. Hanya sebilangan sahaja yang dapat hadir, selebihnya ada temujanji di luar.


  
Sedang menantikan masuknya waktu Solat Zohor, sempat berposing adik-adik ni semua...

 Makanan yang disediakan berupa nasi beriani, buah tembikai dan kek pisang. Tajaan daripada beberapa orang pekerja. Kali ini memang kelab had kan penaja makanan sebab tak nak membazir seperti sebelumnya...

Makan selepas semuanya selesai...

Kredit kepada Kak Shila, HR Dept. Terima kasih atas gambar-gambar ni semua...

Tuesday, February 19, 2013

Koleksi anak saudara

Anak-anak saudara kami - sepupu Umairah Ya Maryam...yang baru datang ke dunia yang fana ini... Seorang perempuan dan seorang lelaki. Comel-comel belaka buat hati saya berbunga riang...alhamdullilah.

 Muhammad Farif Mohd Anuwar - sepupu Umairah belah ibu. Lahir 1 Februari 2013. Yang Umairah dok cium berpuluh kali sehari. Dah dua hari Farif balik ke kampung papanya...maka kerinduanlah kami di sini menanggung ingatan pada budak comel ini...Gambar Farif yg inillah buat penawar rindu cik ili dan kak yong umairah...Farif pandai main skodeng sebelah mata...
Farif kalau tidur tak mahu berbedong...membesarlah bagai johan... jadi tok imam kat rumah tok bah ya sayang...
Nur Qhalesya Irdina Bt Nurfazlyshah - sepupu Umairah belah ayah. Lahir pada 19 Dec 2012. Qhalesya ni pula kami sekeluarga belum jumpa mata lagi sebab ayah long, mak long dan kak yong umairah dah lama tak balik kampung. Sibuk memanjang dan belum bekesempatan nak bercuti....apa pun Qhalesya tak lama lagi nak terbang ke Sandakan lah pulak, ikut papa dia yang kerja kat sana...minta-minta sempatlah kami balik tengok dia dahulu sebelum Qhalesya di bawa balik ke Sandakan...kalau tidak, alamak kita jumpa di sandakan nanti :) love u darling...


Cak...Qhalesya...nanti kita jumpa ya....nak bagi kak yong umairah cium sampai lebam....geram tengok wajah nakal ini...dah pandai nak berlawan borak nih...
Yang pasti dua-dua anak comel ini anak pendekar negara....

Wednesday, January 30, 2013

perlukah saya membalas balik?

Kadang-kadang kan saya rasa saya perlu menjadi mulut leser seperti kawan-kawan yang lain untuk mengelakkan diri dari diremeh-temehkan oleh sesetengah orang. Memang sakit hati apabila kita asyik tidak mahu bermulut leser atau lebih tepat memulang paku buah keras kepada orang itu. Pada saya selama ini, biarlah dia sedar sendiri dengan kesalahan dan kelemahan yang dia juga turut ada itu. Tidak perlulah saya memberitahunya apa lagi membalas balik apa yang dia buat pada saya, tapi nampaknya, apabila kita mengambil sikit tidak mahu berlawan kata dan berkeras mulut, sikapnya makin menjadi-jadi...makin seronok dia mentertawakan saya sedangkan kesalahan itu adalah di pihak dia.

Ini kejadian yang baru berlaku tadi.

"Apa emeil yang you forwardkan ini....?" soalnya dengan penuh gelak ketawa. Confident gila bahawa emeil yang telah saya forwardkan itu adalah kosong semata-mata.

"Aik...kan bila saya forward, sepatutnya semua detail tu ada kan?" kata saya. Tangan laju membuka emeil dan memeriksa sent item.

"Mana ada apa-apa...yang ada cuma material saja...kalau ini, kat magazine pun saya boleh tengok.!" Makin seronok dia ketawakan saya.

"&&%%%" siap sebut nama penuh saya lagi tu, dengan nada menyindir akan kebodohan saya dalam forward emeil, sambil ketawa bahagia.

Yang saya pula terus buka sent item dan click kat emeil tersebut. Tengok semua ada....dan ooooooo....saya jumpa akan di mana kebodohan orang itu akhirnya...emeil yang saya forward tu dia tidak buka keseluruhannya (expand all), jadi memang betullah, hanya emeil yang terakhir saya dengan client sahaja yang appear dekat page itu.

"Apa pulak tak adanya, cuba click kat expand all...kat situ akan keluar semua conversation saya dengan client. Semua detail ada kat situ. Nama, alamat, no tel, serta email semua ada...."

"Huh...ada ke? sekejab I tengok." Terus dia terdiam dari ketawa bahagianya sebentar tadi.

"Ada tak?" Soal saya sedangkan dalam hati dah rasa nak sepak je mukanya. Nasib dalam telefon je. Masih malas nak membebel ataupun lebih malas rasa nak ketawakan orang bodoh sombong macam tu lagi.

"A'ah...ada, ada...Hah ok la kalau semua ada. I direct emeil to client la" laju dia letak telefon tanpa apa-apa pamitan rasa nak minta maaf atas ketawanya atau lebih tepat akan ejekannya pada saya sebentar tadi.

Saya letak gagang telefon dengan gelengan yang panjang....ada juga rupanya manusia yang suka merendah-rendahkan orang lain tanpa ketahuai kebodohan diri dia juga. Alahai manusia...biar beriman dan beramal soleh sebaik manapun, masih ada juga sifat buruk dalam diri....

Ini bukan kali pertama dan kedua dia berbuat begitu dengan saya, tapi saya tetap menyabarkan diri....menbiarkan dia terus hanyut dengan kebanggaan dirinya sendiri....Kata Malika, "dia suka buli you sebab you tak menjawab...."

Saya bukan tak nak menjawab, apatah lagi melawan kata....tapi itulah sebenarnya sifat saya, tidak suka berlawan kata dan bertikam lidah. Saya lebih suka membiarkan orang-orang yang bersifat sebegini sedar sendiri dan mengambil inisiatif untuk berubah menjadi lebih baik. Mungkin suatu hari nanti, Allah lorongkan kesedaran untuk mereka-mereka ini....wallahualam...