Friday, October 9, 2009

Menunggu Cinta Tuhan



"Huh, hello...budak yang tidak boleh dibawa ke majlis itu? Datang ke majlis orang siap bawa bekal air sendiri? Hah ha! Engkau jangan buat lawak!"

Sedikit sedutan untuk Menunggu Cinta Tuhan novel terbaru kak Lily. Seawal pembacaan aku sudah dapat membayangkan lengok gaya ceritanya yang macam mana. Mungkin kerana kisah yang 'diceritakan' ini dekat di hati maka aku dapat membayangkan dengan lebih hidup lagi akan suasana dan latarnya. Sungguh, sejak kak lily mula keluarkan tajuk dan sedikit intro novel ini dalam blognya, aku mula tidak senang duduk. Berdebar menunggukan buah ceritanya yang ini. Terjatuh hati pada tajuknya....

Hampir sebulan menuggu, aku dapat novelnya yang panas-panas dari tangan kak lily yang baru juga balik dari kilang percetakan PTS. Aduh...sukanya aku masa kak Lily hulurkan novel tersebut. Tak sabar nak belek isi ceritanya. Hah..balik rumah, apa lagi terus memulakan sehingga ke jarum jam 3 pagi, baru selesai.

Membaca novel kak Lily....seperti biasa, tidak sah kalau kita tidak tersenyum-senyum sendirian. Memang boleh memabukkan membaca 'ayat-ayat cinta' kak Lily. Ayat yang tersusun dengan kata yang membuka minda kita untuk berfikir dan terus berfikir tentang hala tuju hidup kita yang sebenarnya. Dan ada ketikanya bait katanya yang indah-indah itu mampu membuai jiwa. Lembut dengan ungkapan-ungkapan syahdu. Kadang-kadang lucu dan kadang-kadang sinis pada maknanya yang tersendiri!

Menunggu Cinta Tuhan. Novel islamik yang berjaya kak Lily olah dalam ceritanya yang tersendiri. Boleh dibayangkan bagaimana sikap si Azrul Rasyid dan bagaimana pula penerimaan Khalida Atikah terhadap bosnya yang amat-amat bermulut lepas, mulut cabul dan mulut tidak berinsuran. Setiap kata yang keluar dari mulut Azrul Rasyid semuanya bagaikan lontaran api. Mempunyai taste hanya pada gadis-gadis yang pandai bergaya, berdada montok dan melintuk riuk...tidak kepada gadis seperti Khalida Atikah yang berhati bening dan berjiwa islam itu. Sedang dalam tidak sedar, si Khalida itulah puteri yang mungkin diutuskan untuknya....

Menunggu cinta Tuhan, karya islamik yang berupaya menyentuh cinta hati kita agar berdirilah di atas paksi yang benar untuk hidup yang baik. Berdirilah dengan rasa diri sendiri kerana kalau kita teguh dengan apa yang kita pegang, datanglah walau sepuluh orang yang bermulut seperti Azrul Rasyid pun, kita masih boleh tersenyum bila dimarah, dicaci apatah lagi dihambat dengan kata-kata yang berbisa setiap hari. Kuatnya semangat Khalida, andai boleh dipinjam, ingin sekali aku memiliki jiwa setabah itu. Jalinan kehidupan dalam novel ini dikuatkan lagi dengan terjemahan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai panduan dan sokongan hidup kita di alam dunia.

Seronok...memang seronok membaca novel-novel kak lily, bukan kerana dia yang aku kenali tetapi lebih kepada karyanya yang sentiasa ada cerita yang enak untuk dikongsi bersama pembaca setianya....untuk Kak Lily Haslina Nasir, teruskan berkarya kerana mata hati kak lily senantiasa tajam memukau...

Kini, sabar menunggu Aku Disentuh Tuhan...

No comments:

Post a Comment