Thursday, April 23, 2015

Isteri Sipi-Sipi

Assalamulaikum semua.

Saya datang hari ni nak kenalkan baby baru ya...jeng..jenggggg....



Alhamdullilah, syukur kepada Allah SWT yang masih meminjamkan saya idea untuk terus menulis... lahirnya naskah baru ini saya tujukan khas untuk kawan2 pembaca yang sangat saya sanjungi. Terimalah naskah ini seadanya. Sesungguhnya naskah itu tidaklah yang terbaik untuk dijadikan panduan atau apa2 pun...ianya cuma nukilan cerita yang saya tulis dengan gerak hati...yang saya jalinkan satu persatu jalan ceritanya dengan rasa yang amat menyanyangi Alia dan kasihkan Amar. Lebih dari itu, tumpahnya selautan kasih dan sayang saya pada Mimi. Adam sikecil yang menyerikan hidup mereka sekeluarga itu saya bawa agar kita sama-sama dapat menghayati nilai kasih sayang dalam keluarga.

Kawan-kawan pembaca yang budiman...naskah ini tidak berat untuk difahami dan tidak juga ringan untuk disantuni...maka, kalianlah yang wajar memberi gambaran tentang naskah ini sekiranya kalian berjaya menghabiskan naskah 472 muka surat itu.

Maka, sudi-sudikanlah dapatkan naskah ini... untuk permulaan, novel ini dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2015) di PWTC bermula 24 April - 3 Mei 2015, di gerai Pekan Ilmu, booth Lot 3150 & 3151 Aras 3, Dewan Tun Razak 3. Insya-Allah saya juga akan ada di sana pada masa-masa tertentu. Kalau jumpa saya...tegur-tegurlah ya...boleh kita beramah mesra...Insya-Allah.

*** Cumanya sedikit ralat, saya baru diberitahu oleh penerbit sebentar tadi bahawa novel ini hanya akan berada di rak pesta buku bermula 29 April (Rabu) sahaja kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Perancangan awal, novel ini sepatutnya siap dicetak hari ini. 



              _________##~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~## _____________ 





Sedikit teaser ya sebagai mukadimah ...  



Bab 1

So how? Masih jet lag?” suara Kak Mimi yang sudah duduk di sebelah pembaringanku, membuat aku membuka mata.
Aku bangun perlahan-lahan sambil menggosok mata.
“Maaf kak, tertidur pulak, ingatkan nak baring luruskan badan sekejap, rupa-rupanya boleh tertidur,” jawabku. Terasa bersalah kerana tertidur. Tadi selepas sekembalinya kami dari airport, Kak Mimi menunjukkan bilik dan membiarkan aku untuk berehat seketika, alih-alih boleh pula aku tertidur. Tak semengah sungguh!
“Penatlah ni ya?” soal Kak Mimi.
“Taklah penat mana pun kak. Cuma lenguh badan sebab duduk lama sangat dalam flight, itu aje.”
“Bangunlah, dah nak maghrib pun, pergi mandi. Lepas maghrib kita boleh makan malam,” kata Kak Mimi sambil melipat selimut kemudian meletakkannya di hujung katilku.
Selesai melipat selimut, Kak Mimi melabuhkan punggung di sebelahku yang duduk berjuntai kaki di tepi katil.
Aku perhatikan raut wajahnya. Kak Mimi semakin cantik sekarang ini. Kulitnya putih bersih. Wajah mukanya yang berbentuk bujur sirih itulah yang akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya. Sekarang ini Kak Mimi sedang mengenakan kaftan kain cotton berwarna kelabu. Amat sepadan dengan Kak Mimi.
“Kenapa Lia tilik akak macam tu sekali?” soalnya apabila menyedari dirinya ditenung.
Aku hanya tersenyum. Rasa kagumku dengan setiap penampilan Kak Mimi dari dahulu hingga kini tak pernah luak. Rasa kagum itu aku simpan dalam hati sebab Kak Mimi tidak suka dirinya dipuji.
“Terima kasih kak sebab bagi Lia tumpang rumah akak,” kataku sambil memegang jari-jemari Kak Mimi.
Sungguh aku perlu berterima kasih kepada Kak Mimi. Tanpa dia aku tidak tahu ke mana arah yang patut aku bawa langkahku ini sekembalinya ke Kuala Lumpur.
“Kenapa pula Lia cakap macam tu, kita kan adik-beradik dunia akhirat. Walau bukan dari satu rahim ibu dan satu keturunan, kita membesar bersama. Susah senang kita selama ini, kita tempuhi berdua. Akak sayang sangat dengan Lia.” Aku dipeluknya erat.
Sebak sangat rasa hatiku apabila mendengar kata-kata Kak Mimi.
“Sepanjang Lia kat sana, akak rasa sangat kehilangan. Yalah kan, dari kecil sampai besar kita sama-sama tempuhi hidup ini. Pahit manis kita lalui bersama. Akak ingat lagi, Lia sangat comel masa kecil. Sebab tulah akak selalu dukung Lia.”
“Pasal akak selalu dukung Lialah, Lia jadi manja dengan akak,” sampukku pula.
Kami bergabung ketawa.
Kenangan kami di rumah Ar-Raudhah amat manis dikenang. Kak Mimi tua enam tahun daripadaku. Sejak aku sudah mula boleh mengingati, Kak Mimilah yang selalu di sampingku. Dialah yang banyak mengasuhku. Dialah juga menjadi tukang suap makanku. Dialah juga yang mengulit tidur malamku. Kak Mimi walaupun ketika itu baru berusia sepuluh tahun, tetapi dia sangat matang. Kami sangat menyayangi antara satu sama lain. 
“Dulu masa kecil Lia kerap berhingus. Kalau akak tak sapu hingus tu, Lia biarkan meleleh masuk mulut. Tu yang hingus Lia lambat berhenti,” ceritanya lagi, menggamit kenangan silam kami.
Aku ketawa mendengar cerita itu. Memang benar, sampai sekarang ni aku mudah benar diserang selesema. Biarpun hanya dengan terkena rintik hujan, tidak lama lepas itu, pasti aku akan selesema. Antibody aku lemah agaknya.
“Manis kan kenangan kita kat Ar-Raudhah?”
Kak Mimi mengangguk. Setuju dengan penyataan aku yang satu ini.
“Kenangan yang tak semua orang ada. Kita antara kanak-kanak yang bertuah dapat berlindung di Ar-Raudhah.”
“Esok kita pergi sana nak? Lia rindu dengan ibu. Apa khabar agaknya dia? Dia tahu Lia balik minggu ni,” kataku merujuk kepada Puan Hajah Zaiton, pengetua rumah anak-anak yatim Ar-Raudhah, yang sudah kami anggap sebagai ibu kandung sendiri.
“Ha tulah, minggu lepas masa akak ke sana, kami ada juga bercakap pasal kepulangan Lia tapi masa akak pergi tu ibu demam. Sempatlah akak bawa dia pergi klinik.”
“La... ya ke? Kesian ibu,” setunas ingatanku melekat pada raut wajah putih bersih ibu. Dialah ibu untuk aku menumpang kasih selama berbelas-belas tahun. Kami berpisah selepas aku mendapat tawaran ke Australia sebaik selepas Sijil Pelajaran Malaysia. Ketika itu Kak Mimi baru habis belajar di Universiti Putra Malaysia.
Peraturan di rumah Ar-Raudhah, selepas anak-anak berumur lapan belas tahun mereka boleh kembali ke pangkuan keluarga bagi yang masih mempunyai keluarga dan bagi anak-anak macam aku yang tidak tahu asal usul ini, kami diberi pilihan sekiranya mahu terus berada di situ dengan syarat sama-sama membantu pembangunan Ar-Raudhah.
 Aku memilih untuk mengikut Kak Mimi. Itulah sekembalinya aku dari Australia, aku menumpang buat sementara di sini.
“Abang Amar okay ke?” aku bertanya sebab takut juga dengan kehadiran aku di rumah ini akan mengganggu ruang privacy mereka sekeluarga.
“Dia okay lah. Akak dah berkali-kali tanya dia, dia tak ada masalah pun. Dia faham dengan keadaan kita,” kata Kak Mimi tersenyum.
Alahai sayu pula aku mendengar Kak Mimi berkata begitu. Almaklumlah orang sebatang kara di dunia. Terus terasa sebak menyesak dada walaupun realiti ini bukan sehari dua kami sudah tempuhi.
“Saya akan menumpang, sementara belum dapat kerja. Lepas dapat kerja, insya-Allah saya akan cari rumah lain, ya kak.”
“La... kan akak dah kata, Lia duduk je kat sini. Bilik kosong ada dua lagi tu. Lagipun hanya kami berempat saja di rumah ni. Apa nak malu dan segannya?”
“Bukan apa kak, saya nak belajar hidup sendiri, tapi akak jangan bimbanglah, Lia akan selalu jenguk akak.”
“Akak bukan apa Lia, kita ni dah macam adik-beradik kandung. Walau bukan dari rahim ibu yang sama, tapi kita dibesarkan bersama. Ikatan persaudaraan dah terlalu kukuh. Akak sangat sayang pada Lia. Akak nak Lia selalu ada dengan akak. Empat tahun Lia kat luar negara, akak asyik membilang hari. Menantikan masa untuk kita bersama semula seperti berpuluh tahun dahulu.”
Sedih aku mendengar kata-kata Kak Mimi. Hanya dia tempat aku menumpang kasih dari dulu hingga kini selain daripada kawan-kawan yang senasib dan para pengasuh di Ar-Raudhah dahulu.
“Dah... dah... tak nak sedih-sedih. Pergi mandi, solat dan kejap lagi kita makan malam. Yang lain kita bincang kamudian. Masa masih panjang lagi...” kata Kak Mimi sambil membalas usapan jari-jemariku.
Okay, akak nak turun bawah dulu, tengok Adam tengah buat apa.” Kak Mimi bangun dari katil.
Segera aku menarik tangannya kembali dan ucapan terima kasih aku luahkan. “Terima kasih kak kerana sudi menumpangkan Lia kat sini.”
“Lia... kan akak dah cakap. Lia tak menumpang di sini. Sini pun rumah Lia jugak. Di mana akak berada, di situlah rumah Lia,” pujuk Kak Mimi sambil tangan kanannya mengusap ubun-ubun kepalaku.
Usapan tangan Kak Mimi pada ubun-ubunku inilah yang aku rindui selama di perantauan. Terasa kasih kami erat berpadu. 
“Terima kasih kak...” ucapku sebak. Banyak sungguh budi yang Kak Mimi tanam untukku. Aku tak tahu sama ada aku mampu membalasnya atau tidak. Tetapi dalam setiap sujudku, doaku tidak pernah putus untuk dia. Dia ibarat nyawa kedua buatku.
Kak Mimi tersenyum. Agaknya sudah tidak terkata dia dengan sikapku ini.

Tuesday, April 7, 2015

Ajari aku untuk reda

Assalamualaikum...

Yang sedang ada dalam hati ketika ini adalah kecewa. Perkataan atau perkara yang jarang singgah dalam diri saya ini ada dengan sendirinya sejak satu pengorbanan yang saya lakukan dalam hidup ini. Pengorbanan, konon untuk membantu, namun menjerat diri saya kembali.

Mana saya sangka, perkara ini, yang mana saya terpaksa melepaskan kesayangan dengan begitu susah dan payahnya untuk saya laku, kerana yang itu adalah tempat di mana saya bermula dan rasa hormat yang saya junjung pada sesekian tertanam jauh direlung hati saya...rupanya, pengorbanan saya itu tidak berbaloi langsung.

Jadi, sekarang ini... saya kena pahatkan rasa reda dalam hati saya untuk semua keputusan yang saya sudah lakukan. Saya yakinkan diri bahawa ini semua adalah gerak kerja yang hadir dari Allah SWT untuk menguji sejauh mana tawakal saya padaNya.

Maka, dengan ini... pada setiap tindakan yang tidak memuaskan hati saya, yang menghilangkan rasa yakin saya; saya harus simpan kemas. Saya balut rapi, tutup rapat di dasar hati sendiri sebab siapa saya untuk terus mencari hak biar pun itu adalah kepunyaan saya.

Kerana, sesungguhnya... sekali saya sedia dan sanggup berkorban, selamanya saya perlu berkorban! 

Allah... kuatkan hatiku
Allah... jangan Kau matikan rasa untuk kecintaanku ini
Allah... buangkan rasa payau yang ada dalam jiwaku ketika ini
Allah... buangkan bebenan rasa buatku, kerana aku ingin hidup aman dan tenteram
Allah... lapangkan dadaku untuk belajar reda dengan ujian-Mu

Allah... Allah... Allah... Kau murahi rezeki buat kami semua, murahi kami dengan rezeki yang halal demi untuk niatku yang satu itu. Amin.

 

Friday, February 13, 2015

Hilangnya permata di hati kami

Malam tadi ketika buka hp nampak masej tapi dalam hati kata...tak mungkin...orang main-main kut. Teringat kejadian beberapa bulan lalu yang berita ini disebarkan padahal tidak benar sama sekali. Jadi, itulah yang tak berapa nak percaya lagi. Lepas tu buka group sebelah, eh! ada lagi masej ni. Kalau gini dah betullah. Masa tu jam 10 malam. Tanya ayah ngah dia, betul ke ni? Kata Ayah Ngah dia...betul dah tu...Astro Awani dah sahkan ni! - Innalillahiwainnailaihirojiun...

Perginya tok guru kepada anak-anak Kelantan di malam jumaat. Malam/hari impian semua umat islam untuk mendapat sedikit kesenangan ketika di alam kubur.

Sesungguhnya dia ibarat permata bagiku. Yang sukar untuk dicari ganti buat ketika ini. Dia juga permata di hati kami anak2 Kelantan. Damailah di sana wahai murabbi, sesungguhnya tugasmu sebagai penyampai sudah selesai. Al fatihah utk ayahanda yg terlalu dihormati. Di mana kan kami mencari gantimu wahai murabbi yang setia dengan kebenaran....

Wajah yang akan dirindui selepas ini. 

Melihat raut wajah ini, mengimbaukan ingatan saya kepada arwah Tok Ayah, Tok saudara kami yang antaranya kawan kepada TGNA. Semasa hayat Tok Ayah, TGNA sempat beberapa kali datang ke masjid di depan rumah saya yang mana penjaga dan pengasas masjid itu adalah Tok Ayah. Masih jelas diingatan, pertama kali TGNA datang ke masjid di kampung itu ibarat seperti menyambut perayaan. Kampung bercahaya dengan lampu, kereta bertali arus, kebanjiran penduduk di sekitar itu, semuanya teruja untuk mendengar ceramah TGNA. Ketika itu saya masih lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun. Masih galak berlari di celahan orang ramai. Sungguh ketika itu kami semua teruja untuk melihat TGNA secara dekat. Masih terbayang caranya berdiri ketika berucap di serambi masjid yang di datarannya dipenuhi umat manusia. Allahuakabar. Masih jelas terbayang itu semua biarpun kejadian itu sudah berpuluh tahun berlalu dan pada hari itulah saya mengenali siapa dia lelaki hebat ini.

Pagi tadi...astro Awani mula menyiarkan segala perihal pasal arwah...oh..alangkah beratnya rasa kaki untuk melangkah keluar untuk ke pejabat sebab hati ingin melihat kupasan yang disiarkan. Namun memikirkan ada tugasan yang menanti, aku gagahi jua meninggalkan keluarga yang lain masih di depan TV, menonton. Rasa ralat kerana kami semua tidak berkesempatan untuk pulang melawatnya. 

Masuk kereta, buka radio Ikim...pun sama...semuanya bercerita pasal kehebatan ulama ini selama hayatnya. Perlahan-lahan air mata menitis setiap kali kelebihan lelaki ini diceritakan...dan saat lagu pergi tak kembali dari Rabani diputarkan....air mata makin laju mengalir. Menginsafi diri... - ketika itu berhenti di taffic light - toleh pemandu kereta lain di kiri dan kanan semua sedang menoleh - agaknya mereka semua pasti berbicara sendiri - apahal pulak minah ni menagis beria-ia di pagi hari? -  Allahuakbar. 

Kami tangisi pemergian murabbi ini. Kehilangan yang sukar dicari ganti. Kehilangan yang meninggalkan lopong di hati kami yang sangat menyanjunginya. Salam takziah kepada seluruh keluarga. Al-Fatihah.

Wednesday, February 4, 2015

Umairah Ya Maryam pertama kali ke sekolah

Tahun 2015, bulan January saya langsung tak sempat nak buka menulis di sini. Sibuk sepanjang bulan. padahal ada benda yang saya nak share....manuskrip kedua saya sudah siapppppp....tapi belum sempat pun lagi nak hantar untuk dinilai oleh penerbit. So...terabailah lagi.

Hari ini....saya nak tulis sesuatu yang paling saya teruja dan gembira...tarikh hari ini 4 February 2015 kakak menjejakkan kakinya ke sekolah.

Yeyyyy...kakak Umairah Ya Maryam sudah mula bersekolah. Hari ni umur kakak Umairah Ya Maryam 3 tahun setengah sebab bulan july nanti baru masuk empat tahun. Kakak mula bersekolah lewat sebulan dari kawan2 yg lain sebab ibu dia baru habis berfikir...(ibu dia kan pelik banyak, berfikir tak habis2 untuk memutuskan perkara ini biarpun ayah dah beberapa kali bagi green light)

Finally...Alhamdullilah...kakak mengejutkan ibu dan ayah dgn cara kakak yg sgt tenang, masuk barisan sama2 kawan, masuk kelas dan belajar seperti anak2 lain. kakak meninggalkan karektor kakak yang penakut dengan orang, yg pemalu dan pendiam apabila di luar rumah, sering menyorok di belakang ibu kalau ada org menegur. Tapi hari ini kakak transform menjadi kakak yg sgt berdikari. kakak hanya tersenyum tenang kala ibu dan ayah melangkah keluar tadika.ibu teruja kakak, sangat teruja dgn semangat yg kakak tunjukkan. Maka, belajarlah kak, belajar menuntut ilmu akhirat dan duniawi...keterujaan kakak membuatkan seluruh mak pak saudara kakak bangga tau...apatah lagi tok bah dan tok ma...kami semua sayang kakak. psttt...ayah kakak senyum meleret masuk kereta, bangga anak dia bersemangat. ibu pula berkaca mata sbb tak percaya kakak sangat steady...semoga berjaya dunia akhirat anak ibu sayang, si jantung hati ayah.

 Kakak yang begitu seronok sebab dapat peralatan menulis baru...semua nak buat sendiri tak bagi ibu tolong..

 Adik pun join sekali...ni rupa Medina baru bangun tidur...masih blur bila kakak lambakkan segala alatan menulis dia..
 
 Pagi tadi 1st day nak ke sekolah. Bukan main excited lagi dia...jaranglah utk kami melihat dia nak bergaya begini..pagi ni macam2 aksi dapat...pakai baju sendiri dulu sebab uniform sekolah belum dapat lagi.

 Adik pun sibuk sama...dia juga bangun awal nak pergi hantar kakak ke sekolah. Yang kelaka Adik yang pujuk kakak mandi - ni kes kakak takut air.

 Allahhuakabar....Kakak sangat behave...anak yang baik sesungguhnya menyenangkan ibu bapa. Langsung dia tak buat perangai. Gaya seronoknya dari rumah sampai ke sekolah, dia okey sahaja. Siapa sangka...si kakak yang dikenali sebagai budak yg tak boleh berjauhan dgn ibu kalau pergi ke mana-mana, tetapi hari ini dia sangat berdikari. Kakak membuktikan...apa yang kakak nak, kakak tak takut nak menghadapinya...tang ni kakak menurun perangai ibu.Baju sekolah ni sempat ditukar dalam bilik guru bila diberikan uniform sukan untuk dipakai setiap rabu.


Dari jauh kelihatan kakak sedang beratur nak masuk barisan...

Wednesday, December 31, 2014

2014 akan berlalu malam ini...

Assalamualaikum,

Hari ini, hari terakhir utk tahun 2014. Cepatnya masa berlalu dan nak masuk tahun 2015. Jadi saya nak ucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua teman-teman. Semoga tahun yang akan datang, lebih membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara. Lebih-lebih lagi kepada kita sendiri. Minta Allah teguhkan iman, murahkan rezeki sentasa dan dibawah rahmat-Nya selalu. Di panjangkan usia untuk melihat anak-anak membesar. Insya-Allah. Amin...

Tahun 2015, kakak dah mula sekolah. Sekejab je rasa..dia dah mula sekolah. berdebar sebab ini pengalaman pertama hantar anak ke sekolah. Dahulu rasa pelik bila umur 4 tahun dah dihantar ibu bapa ke sekolah. Tapi sekarang ni dah jadi macam trend la pula. Anak2 mula bersekolah seawal 4 tahun. Sebelum kami betul2 yakin nak masukkan dia ke sekolah, puas sudah saya bertanya kawan-kawan yang pernah berbuat demikian. maka jawapan pun, ada pro n cont. Jadi kami bertawakal dah alang-alang kakak pun saban hari bertanya bila dia nak sekolah jadi tahun 2015, bermulalah alam persekolahannya. 

Adik pula sangat keletah. Suka bercakap...pot pet pot pet...mata pejam pun mulut boleh berbunyi. Dan saya suka melayan sebab itulah saat indah kami bersama. Kuat makan walau badan sekeding. Alhamdullilah...dah hampir dua bulan dia tak demam, tak batuk dan tak lelah. Kalau tak, tiap dua minggu pergi klinik ambil nab. kesian kita yang melihatnya. Setakat jam 2-3 pagi bangun pergi klinik tu perkara biasa dah bagi kami. Ini dah hampir dua bulan, adik sihat sepanjang itu. Alhamdullilah.

Kisah nak menyudahkan manuskrip pula, asyiklah tertunda dek kerana masa yang tidak mengizinkan. Bergelut dengan deadline kerja yang tiap dua minggu...sedang elok closing, ada kerja admin pula yang kena buat. Balik rumah dah dikelilingi anak-anak. Saya masih dlm kereta, adik n kakak dah menjerit di pintu rumah. Masuk sahaja rumah, tudung pun belum sempat nak buka, adik dah terkam dulu. Nak bergayut dan mulalah kakak pun datang menghimpit sama. By 11.30pm, anak tidur...ibu pun turut lena. Sampai ke pagi. Akhirnya semua tak menjadi. Alahai...tapi...........sejak bulan lima hari tu, saya pulun juga buat...curi2 masa tidur...bangun tgh malam, maka nampaklah juga perjalanannya.

Maka, dengan ini...penutup 2014 - sasaran saya tidak berjaya....   



Thursday, October 23, 2014

Holiday mood!



Assalamualaikum,

Sekadar mencoret;

Tiba2 rasa nak bawak laptop utk sesi makan angin keluarga kecik saya ini. Rasa nak sambung menulis manuskrip yang lama dah terbengkalai tapi dlm dua bulan kebelakangan ni, macam laju pula progresnya.

Dalam hati mulalah berangan, buka laptop sambil mengadap laut di waktu lepas subuh. Saat matahari akan terbit, keadaan sekililing yang sunyi sepi…Oh alangkah indahnya!

Cuma masalahnya, ada ke orang nak tolong pikul itu laptop di kala mood percutian berada di depan sekali?

Saya tak boleh nak pikul itu laptop sebab keris sudah ada di pinggang, ya! Medina An Najah itu; biarpun sudah berkaki, asal berjalan keluar dari rumah je dia mahu didokong. Alahai…


Friday, October 3, 2014

Salam Aidiladha 2014

Daripada raya puasa bawa ke raya haji, dua post je saya buat. Nampok benar dah tak cara ko rumah ni dih...hiks..hiks..hiks...

Ok.Esok sabtu, lepas tu ahad dan kita sambut raya korban lagi. Saya mungkin bergerak balik malam ni. jadi bertabahlah hati untuk makan jam seperti biasa. Harapnya tidaklah seteruk tahun-tahun lepas. Penat weii...
Malam karang hanya kami empat beranak je balik kg...orang lain semua tak balik. Nenek saya yg dari kampung datang sini, siap bawa daun palas, beras pulut dan beras nasi dagang dari kampung. Mereka semua nak beraya di Puchong.

Memandangkan raya ni kami 4 beranak je balik jadi ayah ngah n che su sibuk lah dok bertanya nak gerak balik pukul berapa sebab mereka takut tak sempat jumpa dengan Umairah & Medina. Che Su dari kolej mitrikulasi banting dan ayah ngah dari besut, terengganu. Ayan Ngah kesayangan Umairah & Medina ni, dah jadi warga terengganu sejak kena transfer jaga projek di sana. Hari-hari budak berdua ni, bila saya balik je akan tanya "nyah mana?" - jadi selalulah kita kena terangkan. "Nyah kerja jauh dah. Dia tak duduk dengan kita lagi...sebulan sekali baru ngah balik sini..." nanti kakak akan jawab. "oooo" panjang ooo dia tu, tapi esok dia tanya lagi...gitulah anak-anak saya yang sangat rapat dengan ayah ngah dan che su dia.






 Harap-harap raya kali ini, jalan ke Kelantan tak jam. Amin.