Monday, December 14, 2009

Saya budak baru belajar

Sabtu 12/12/09, seperti yang diharapkan…aku berkesempatan hadir jua ke kelas penulisan novel anjuran AVA. Walau dalam keadaan yang tidak cukup persediaan dan dalam kekalutan masa yang agak terhad, tetap aku gagahkan juga. Tujuannya memang satu, mencari ilmu.


Bengkel yang menarik kerana ia dianjurkan oleh orang yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang penulisan. Lebih manis apabila ia dikendalikan oleh penulis novel terkenal; Puan Nisah Hj Harun selaku permudahcara. Seharian berbengkel, banyak yang dapat dikutip dan dipelajari.

Seawal bengkel, kami belajar cara merangka jalan cerita, cara untuk mengembangkan plot dan seterusnya menjalin bab demi bab. Payah juga rupanya ya? Masuk sesi kedua, aku sudah kecut perut bila diminta untuk membentangkan synopsis dan bab pertama karya masing-masing. Alahai…apalah yang nak aku bentangkan nanti kerana ianya ditulis hanya sekadar mengisi masa terluang 3 tahun dahulu.

Daripada pemerhatian, semua peserta yang hadir pada hari itu rata-rata mempunyai bakat yg terpendam dalam bidang penulisan. Hebat-hebatnya novel yang sedang mereka usahakan. Kajian menyeluruh, rujukan, ketelitian dan pendedahan yang mereka bawakan layaklah utk dikategorikan sebagai calon-calon anugerah sastera serta sains fiksyen yg hebat. Ketik itu, aku mula rasa terpencil hanya kerana aku seorang sahaja yang cuba menulis kisah ‘cinta, air mata & angan-angan mat jenin’. Dengan sedikit kekuatan, aku harus mencuba nasib. Mendengar komen mereka yang berpengalaman tentang karya aku yang tidak ada hujung pangkal itu. Seperti kata seorang teman; “pergilah…tapi tadah telinga mendengar komen mereka kelak…”

Dalam segan berintikan malu, ada beraninya. Demi untuk belajar dan menambah ilmu. Kalau tidak aku tidak tahu pun yang cerita itu banyak yang lopong dan sumbing….terima kasih kepada semua yang sudi menegur dan berkongsi idea. Ada luang masa, di lain hari pasti aku akan kembali ke bengkel seperti itu lagi. Aku belajar untuk ilmu. Di akhir kelas, ketika bersalaman dengan Puan Nisah dia sempat berkata “jangan ambil hati ya mana yang kena cincang…”

Kalau salah tolong tunjukkan….

No comments:

Post a Comment