Thursday, July 4, 2013

Kakak Medina Adik Umairah

Kakak dengan adik...tengok gambo ni sejuk hati ibu. Bukan main lagi, tidur pun pegang tangan adik. Tapi jangan lepa mata, sekali kakak dah celik mata, pasti tangan adik tu akan ada bekas merah tanda dah kena cubit...alahai kakak...cemburu sangat dengan adik...padahal dua-dua ibu sayang, dua-dua ibu peluk cium tiap hari dan hari-hari ibu dodoikan bila nak tidur.

Wednesday, July 3, 2013

Hari ke hari Medina

Hari ke hari Medina dalam kasih ibu,  terasa cepat masa berlalu...dan cepat membesar. Kakak dengan telatahnya yang semakin lasak, adik pun dah pandai berlawan senyum...pantang diagah cepat je menyulam senyum manisnya...duhai permata hati ibu dah ayah, jadilah anak yang baik-baik ya!

 yey...saya adalah mangsa buli kakak, hari pertama di dunia yang fana ini pun saya dah kena cakar dengan kakak....hebat tak saya?

 gambar pada hari luruh pusat @ haighway Karak otw balik kg utk berpantang.
 aman dapat tidur kat bawah tanpa gangguan dari kakak...
 dah pandai palingkan muka saat nama diseru...
  baby baby baby Medina, permata hati ibu dan ayah...sayang tak terbilang...harum bau baby masih hangat di deria rasa ibu...



kakak! ada berani ke nak buli saya lagi? saya pun dah membesar bagai johan...

Medina An Najah

Assalamualaikum....

tadaaaaa....saya baru punya kelapangan utk kembali ke rumah ini....dan selamat datang anak comel ke rumah kecil kita ni ya....

 Medina An Najah Bt Shahrul Hakimi, 25 April 2013, 2.45am

nostalgia, pertama kali ibu pangku Medina

ciuman pertama kakak kepada adik dalam sendu tangisnya yang cuba ditahan sampai herot-herot mulut dan air mata bertakung di tubir mata - di tahan agar tidak lerai - bijak kakak menyembunyikan emosi kesayuannya - cemburu tengok ibu pangku baby dan dia pula didukung oleh ayah.


Thursday, April 11, 2013

Sedangkan Musim Pun Berubah


Petang ni tiba-tiba gatal tangan nak tepek benda alah ni di sini...untuk mencari semangat yang hilang bagi menyudahkan cerita duka lara ini...pada kawan-kawan yang terbaca, jika sudi komenlah ya...saya masih mencari 'jalan berikutnya' untuk menamatkan cerita cinta ini...

 

BAB 1

 

Mendung harus berlalu pergi…..

 

Tika petang yang azan asar akan berkumandang pada bila-bila masa ini, hati Ainur bagaikan dicubit-cubit dengan masalah yang baru muncul pagi semalam, pelbagai rasa memukul gendang hati yang bagaikan entah bila mahu berhenti berlagu.
Ainur sendiri masih lagi tertanya-tanya, dalam minda sarat dengan persoalan yang tiada terjawab sehingga kini. Dalam sekelip mata semua terjadi tanpa Ainur merancang terlebih dahulu. Entah kenapa, mudah sangat Ainur mengiakan kata-kata emaknya ketika itu. Entah dipukau kuasa ghaib mana, mudah sangat bibinya berbicara, mengiakan!
Itulah, terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak berjanji, janji harus dikotakan. Itu pesanan dari emak sejak dia masih kecil lagi. Jangan sekali-kali memungkiri janji yang telah dipahat.
            “Mak, kalau Nur tarik balik kata-kata semalam ok tak?” Dengan muka separuh monyok Ainur memberanikan diri bertanya. Dia duduk bersimpuh tidak jauh dari emaknya yang sedang membungkus ketupat pulut. Esok hari raya Aidiladha akan menjelma, Ainur sudah pun berada di kampung sejak tiga hari yang lepas. Entah kenapa, tahun ini Ainur memohon cuti yang agak panjang sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sesungguhnya sejak dua tahun lepas, sejak majlis tunangnya tidak jadi, Ainur lebih suka balik kampung di saat-saat akhir. Itu pun dia tidak akan keluar ke mana-mana. Sekadar menjadi tetamu ‘kehormat’ emaknya sahaja. Peristiwa itu sedikit sebanyak mula surut dari hatinya setelah saudara-mara tidak lagi membuka mulut bertanya tentang jodoh kepadanya.
            Peristiwa dua tahun lepas kembali menerawang di ruang perasaannya. Ainur malu dengan semua orang di sekelilingnya kerana majlis yang sepatutnya berlangsung esok terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir akibat daripada si lelaki itu mengaku sudah tidak cintakan Ainur lagi. Majlis pertunangan yang sudah dirancang sejak mereka tamat belajar di universiti itu bertukar ke majlis kesyukuran abang Ngah naik pangkat.
Sejak itu Ainur seperti keladi dicelur air panas. Hatinya patah seribu dek perbuataan Fuad yang sanggup mencabar percintaan yang sama-sama mereka lakarkan dan Zulfanina dengan mudah mengeruhkan persahabatan mereka dalam diam.
“Boleh tak mak?” sekali lagi Ainur mengulang tanya.   
            Terjengil biji mata Puan Maizan mendengar suara anaknya yang manis itu. Biarpun umur sudah menjangkau ke pertengahan dua puluhan, namun Ainur masih kelihatan seperti baru berusia tujuh belas tahun. Wajah baby face kata orang! Tak makan dek usia. 
Ainur Saffiya. Itulah satu-satunya anak perempuan yang dia ada, anak bongsunya. Dua lagi anak lelakinya sudah pun berkahwin dan kini menetap di Kuala Lumpur, sama seperti Ainur. Malam nanti mungkin mereka juga akan sampai ke kampung untuk menyambut lebaran bersama-sama kerana esoknya ada majlis korban yang di buat secara berkongsi mereka anak-beranak. Harap-harap semua perjalanan mereka selamat.
            Daun palas di tangan, diletakkan ke tepi, perlahan emaknya bersuara, “Nur, tolonglah jangan buat mak macam dulu lagi, hal dulu baru nak reda, Nur dah mula buat hal balik, mak tak mahulah orang mengata anak mak lagi,” Nada yang sayu itu sedikit sebanyak melemahkan semangat Ainur. Ainur tahu bukan dia sahaja yang terluka akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki idamannya itu. 
Emak. Ya emak, orang yang paling sedih. Dia seakan hilang pertimbangan apabila khabar tidak baik itu sampai ke pengetahuannya. Kerna sayang emak terhadap Ainur yang begitu kuat itu hampir-hampir membuatkan emaknya pergi menyerang Faud sekeluarga. Tetapi nasib baik ketika itu arwah ayah masih ada dan ayah berjaya mententeramkan emak. Menahan emak daripada melakukan sesuatu yang akan mengaibkan mereka sekeluarga walaupun hatinya sendiri bagai retak seribu. Punah impiannya mahu melihat anak kesayangannya disunting orang. 
            “Mak dah bagi tahu Hajah Halimah ke?” Ainur menyoal emaknya untuk mencari kepastiaan. Melihat emak mengangguk, Ainur sudah tahu yang dia sudah terjerat dalam ketidakpastiannya itu.
            “Mak, sebenarnya Nur belum bersedia nak kahwin buat masa ini, Nur masih muda, baru bekerja dan baru merasa ada wang sendiri. Lebih-lebih lagi untuk mak, masakan Nur dah nak kahwin, nanti bila dah kahwin Nur tak dapat lagi nak bagi duit banyak-banyak kat mak, macam sekarang ni.”  Ainur sempat lagi mencari alasan yang tidak munasabah itu. Padahal Ainur sendiri tahu, walau kahwin sekalipun, duit untuk mak tetap ada bahagiannya. Kerana itu janji Ainur pada diri sendiri. Masih dia ingat ketika kali pertama mendapat gaji hasil dari kerjanya, Ainur memberikan kesemua wang gaji itu kepada emak. Dan emak konon-kononnya menerima wang tersebut padahal keesokkan harinya ketika Ainur ingin kembali semula ke kota, emak memberi kembali wang tersebut kepada Ainur. Sedekah buat Ainur, kata emak.
Sekarang ini pula, untuk emak setiap bulan akan didahulukan walau Ainur tahu pencen emak sebagai cikgu penolong kanan dulu lebih dari mencukupi untuk dirinya seorang. Ainur sedar tanggungjawabnya sebagai anak yang harus berbudi kepada kedua ibu bapanya. Mengingatkan akan itu, Ainur sedih kerana dia tidak sempat untuk membalas jasa arwah ayahnya juga.
Namun kadang-kadang ketika datang sesak Ainur, dia pinjam juga duit dari emak. Emak kata buruk siku, dah bagi ambil balik, tapi kata Ainur, ‘pinjam mak, akhir bulan Ainur bayar balik.’
Itulah Ainur, intan payung Puan Maizan. Anak perempuan nan seorang yang dipuja dari segenap ruang rasa....

Friday, March 29, 2013

Happy birthday...

Hari ni birthday ayah umairah...jadi umairah dan ibu nak ucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat ayah terchenta....semoga Allah swt memberikan seribu kenikmatan dalam hidup ini...dipanjangkan usia untuk terus menemani kami semua...dimurahkan rezeki dan dipayungi rahmat Allah selalu...amin...

Citra hidup terindah adalah bersama ayah....kami sayang ayah sebanyak bintang di langit...Terima kasih untuk 3 tahun yang menakjubkan bersama ayah...


Monday, March 11, 2013

Partial Placenta Praevia

Masuk kali ni dah 4 kali saya taip, saya delete. Tak tau nak karang ayat macam mana. Pagi tadi pergi check up, dapat bad news...uri di bawah. Doktor cakap ini kes placenta previa stage 1...bahaya kepada ibu dan baby jika berlaku perdarahan...

Balik godek internet cari info tambahan pasal tu, macam-macam versi ada. Semua menakutkan...minta janganlah sampai kena bed rest sepanjang kehamilan yang tinggal beberapa minggu lagi ni. Tadi pun doktor nak bagi cuti 2 minggu, tapi saya tak sanggup nak bercuti sebab kerja banyak menanti di office. Masih banyak yg belum settle, nak-nak hari ni dan esok closing date untuk MB & MC...walau semua material dah ada, pagination nak kena monitar juga.

Doktor kata jangan buat kerja berat, jangan berdiri terlalu lama, jangan turun naik tangga. Masalahnya tempat duduk saya di tingkat paling atas sekali...cam ner pulak tu nak buat...tawakal sajalah...minta Allah tolong saya, naikkan kembali uri tu ke tempat yang sepatutnya...

gambar from pakcik google.

Saya yang gambar ke dua tu. Partial placenta praevia. Minta-minta scan dua minggu lagi janganlah makin teruk pulak resultnya...doa banyak-banyak...

Sesungguhnya ragam ketika mengandung ni macam-macam. Kalau dahulu protein in urine, sekarang ni ini pulak masalahnya...aih...pelik-pelik sungguh penyakit orang mengandung. Itulah sebab bukan mudah nak menjalani tempoh 9 bulan 10 hari ni kan???

sabar je lah :) 


Thursday, March 7, 2013

Urutan terapi sebelum bersalin

Mari kita kongsi sedikit info berkaitan urutan bagi ibu mengandung. Rencana ini dipetik daripada majalah Mama & Si Manja 2012 Vol 1.

Cara penjagaan kehamilan moden
Kehamilan merupakan pengalaman yang begitu bermakna di dalam kehidupan seorang wanita. Namun begitu, ibu-ibu yang hamil seringkali berhadapan dengan ketidakselesaan seperti sakit belakang, sakit tengkuk, kekejangan kaki, sakit kepala dan kebengkakan. Inilah sebab mengapa urutan khas amat penting, bukan sahaja sebagai terapi selepas bersalin malah sebelum kelahiran juga. Urutan terapi sebelum bersalin boleh membantu melegakan tekanan yang dialami oleh sendi-sendi dan juga menggalakkan peredaran serta aliran di dalam limfa. Urutan sebegini turut menenangkan tekanan pada sistem saraf, dengan itu memberikan tidur yang lebih lena serta meredakan kemurangan atau kerisauan yang disebabkan oleh perubahan hormon. 

Dapatkan kesan terbaik
Kebaikan berurut kepada tubuh manusia telah diketahui sejak 3000 BC lagi. Bagaimanapun, urutan khas bagi wanita hamil dan bayi masih baru. Kini, semakin ramai yang mengetahui kebaikan urutan terapi sebelum bersalin dan ini menjadikan amalan ini semakin popular, baik urutan tradisional ataupun moden. Apabila seseorang wanita itu hamil, dia mengalami pelbagai perubahan fizikal, emosi dan psikologi. Seorang tukang urut terapi yang terlatih akan dapat memanipulasi otot-otot di dalam tubuh wanita hamil untuk menenang dan mengurangkan ketidakselesaan fizikal serta sebarang gangguan emosi. 

Urutan terapi sebelum bersalin diketahui:
  • Melegakan kekejangan, kesakitan, simpulan dan kekerasan otot
  • Meningkatkan ketenangan
  • Memperbaiki aliran darah dan limfa serta meningkatkan bekalan oksigen kepada bayi di dalam kandungan
  • Meredakan kemurangan dan kerisauan akibat perubahan hormon
  • Mengurangkan sakit tengkuk, bahu dan belakang
  • Mengurangkan insomnia
  • Memperbaiki kesihatan otot dan kulit
  • mengurangkan tekanan pada bahagian belakang, pelvis dan buku lali yang menampung berat badan
Urutan lazimnya tidak digalakkan semasa trimester pertama kerana tubuh baru sahaja mengalami perubahan fizikal. Namun, urutan terapi sebelum bersalin selamat dilakukan pada trimester kedua dan ketiga. Tatkala kehamilan semakin terasa, si ibu akan menghargai kelegaan yang diberikan oleh urutan terapi sebelum bersalin. Bagaimanapun, anda sebaik-baiknya berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum menjalani sebarang prosedur baru seperti urutan. Sesetengah pusat urutan juga memerlukan surat pengesahan doktor sebelum memberikan rawatan.

Pakar urutan terapi sebelum bersalin yang disahkan akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan anda selesa dan selamat. Biasanya, sebuah katil khas yang dilengkapi bantal dan kusyen disediakan untuk keselesaan tubuh ibu yang hamil. Kebanyakan ahli terapi akan meminta pelanggan mereka berbaring secara mengiring untuk mengaplikasikan teknik urutan dan tekanan. Bergantung kepada tahap kehamilan dan keperluan pelanggan, seseorang ahli terapi mungkin menggunakan teknik berbeza seperti refleksologi atau urutan Swedish.

Kajian menunjukkan bahawa urutan selama 20 minit dua kali seminggu bagi tempoh lima minggu berjaya mengurangkan hormon tekanan, memperbaiki emosi dan corak tidur serta melegakan sakit belakang dan kebimbangan. Wanita yang kerap diurut juga kurang mengalami masalah obstetric dan bayi mereka kurang mengalami kesulitan selepas kelahiran. 

Langkah berjaga-jaga
Urutan lazimnya baik untuk wannita hamil yang sihat, tetapi wanita yang mempunyai masalah kesihatan berikut perlu berjaga-jaga:
  • Berisiko keguguran
  • Mengalmi pre-eclampsia atau eclampsia
  • Masalah plasenta
  • Keputihan yang banyak
  • Demam
  • Sakit yang tidak dapat dikenalpasti
  • Muntah-muntah
  • Kencing manis
  • Sejarah kelahiran pra-matang
  • Penyakit berjangkit
  • Masalah kulit
  • Tekanan darah tinggi
  • Thrombophlebitis

 Nota saya: Masa mengandungkan Umairah dahulu saya sempat pergi berurut sebanyak tiga kali. Setiap kali selepas mengurut, ah...leganya. Yang kali ini pula, dah masuk minggu ke 30 ni pun saya masih belum berkesempatan nak berurut lagi...sebab sibuk memanjang dan apabila saya free, maksu tukang urut tu pula dah ada pelanggan lain...haih...dah kebas kaki dan kejang dah tulang belakang ni ha...minta-minta hujung minggu ni ada peluang untuk saya.